Umustaffar Mustaffar
Saya ditanya :
1. Apa itu Luh Mahfuz?
2. Apakah ada ayat al-Quran dan Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang menyebut mengenai Luh Mahfuz?
3. Adakah al-Quran yang diturunkan di bumi sama dengan al-Quran yang berada di Luh Mahfuz seperti dalam ayat terakhir surah al-Buruj?
4. Bagaimana pula dengan perkataan ‘Kitab’ yang disebut dalam surah al-Hajj ayat 70?
Jawapan :
1. Luh Mahfuz ialah tempat catatan yang ditulis padanya ketetapan sekalian makhluk sehinggalah berlakunya hari kiamat nanti. [Lihat : Syarh al-Aqidah al-Thahawiyah, Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi, hlm. 263]
2. Luh Mahfuz disebut juga dalam al-Quran sebagai ‘Kitab’. Antaranya ialah surah al-An’aam ayat 38, surah al-A’raaf ayat 37, surah al-Anfaal ayat 68, surah Yunus ayat 61, surah Huud ayat 6 dan banyak lagi. Ia juga disebut sebagai ‘Umm al-Kitab’ seperti dalam ayat 39 surah al-Ra’d dan ayat 4 surah al-Zukhruf. Perkataan ‘Lauh Mahfuz’ pula disebut dalam surah al-Buruuj ayat 22. Kesemua perkataan ‘Kitab’, ‘Umm al-Kitab’ dan ‘Lauh Mahfuz’ ini membawa maksud yang sama. Ayat-ayat yang disenaraikan di atas menyatakan bahawa setiap ketetapan makhluk telah dicatatkan di Luh Mahfuz baik dari sekecil-kecil zarah mahupun yang sebesar-besarnya. [Lihat : Tafsir al-Baghawi untuk kesemua tafsir ayat-ayat di atas]. Manakala hadis pula, ini adalah setakat pencarian saya saja. Ada diriwayatkan satu athar mengenai Luh Mahfuz daripada Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma : “Sesungguhnya Allah telah menciptakan Luh Mahfuz daripada mutiara yang putih, helaiannya daripada delima yang merah, penanya dari cahaya, kitabnya dari cahaya, bagi Allah 360 detik padanya, lebarnya adalah di antara langit dan bumi, Allah melihatnya sebanyak 360 pandangan setiap hari, Dia menciptakan, memberi rezeki, mematikan, menghidupkan, memuliakan, menghinakan dan Dia perbuat apa yang Dia kehendaki.” [Diriwayatkan oleh al-Tabarani, al-Hakim dan ad-Dhiya’ al-Maqdisi. Al-Hakim berkata : Isnadnya sahih tetapi al-Bukhari dan Muslim tidak mengeluarkannya. Al-Zahabi berkata dalam al-Talkhis : Nama Abu Hamzah itu thabit tetapi dia waahin]. Dan ada lagi beberapa hadis yang menyebut mengenai Luh Mahfuz tetapi ia disebut sebagai ‘al-Zikr’ (riwayat al-Bukhari no. 3019) dan ‘al-Kitab’ (riwayat al-Bukhari no. 3022).
3. Al-Quran yang diturunkan di bumi sama dengan yang berada di Luh Mahfuz. Beberapa ayat menunjukkan bahawa sebelum al-Quran diturunkan kepada Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam, ia telah tertulis di Luh Mahfuz; ayat 21-22 surah al-Buruuj, ayat 77-78 surah al-Waqi’ah, ayat 11-16 surah A’basa, ayat 4 surah al-Zukhruf. Dari Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma : ‘Al-Quran diturunkan sekali gus dari langit yang tertinggi ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar, kemudian diturunkan berperingkat-peringkat setelah itu’. Lagi riwayat daripada Ibn ‘Abbas : ‘Al-Quran itu diturunkan sekali gus oleh Allah daripada Luh Mahfuz kepada malaikat di langit dunia…’ [Lihat : Tafsir Ibn Kathir untuk ayat 77-78 surah al-Waqi’ah]. Ibn al-Qayyim rahimahullah menyatakan dalam tafsir ayat 4 surah al-Zukhruf : ‘Dan al-Quran itu telah ditulis oleh Allah di Luh Mahfuz sebelum langit dan bumi tercipta seperti firman Allah yang bermaksud : “(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.” (al-Buruj : 21-22). Para sahabat, tabi’in dan semua Ahlis-Sunnah dan hadis telah bersepakat bahawa setiap perkara yang berlaku sehingga ke hari kiamat telah tertulis di Luh Mahfuz, dan ayat-ayat al-Quran telah membuktikan bahawa Allah telah mencatatkan apa yang Dia lakukan dan katakan di Luh Mahfuz. Dia telah menulis di Luh setiap perbuatanNya dan kalamNya, sesungguhnya ayat ‘Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!’ telah berada di Luh sebelum wujudnya Abu Lahab.’ [Lihat : Bada’i at-Tafsir, Ibn al-Qayyim, 4/131]
4. Perkataan ‘Kitab’ dalam surah al-Hajj ayat 70 bermaksud Luh Mahfuz.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar